("kelihatan tidak mesra sebelum diijabkabulkan, tetapi itulah yang mengikat mereka. Sikap suaminya yang kurang mahu berinteraksi sebelum perkahwinan sebenarnya menambah kemanisan hubungan mereka")
Langkah pertama yang dicuba oleh lelaki sentiasa diingatinya dan menjadi bahan kenangan serta usikan apabila sudah berumah tangga kelak. Ada waktunya langkah pertama lelaki berlaku dalam keadaan yang ganjil dan menghairankan.
Sebagaimana kisah benar seorang lelaki yang sudah mempunyai tiga orang anak dengan isteri pilihan hatinya.
Katanya,"Pertemuan pertama kami bukan seperti pasangan-pasangan lain. Ia bermula daripada kematian seorang sahabat. Pada awalnya, abang menyedari kewujudannya di tanah perkuburan. Entah rasa hati kata si dia pilihan abang. Maka, abang merisik-risik daripada rakan-rakan yang mengenalinya."
Tanah perkuburan adalah tempat bersemadinya jenazah tetapi ia juga boleh menjadi tempat pertemuan. Bermula dari hari itu, cerita si lelaki yang merisik si empunya diri sebenarnya mendapat respons yang baik daripada perempuan itu.
Cuma mereka tidak keluar bersama melainkan ketika hendak membeli cincin tunang sahaja. Pertemuan-pertemuan singkat sekadar bertanya khabar cukup menggembirakan.
Kata isterinya,"Suami saya seorang yang tegas dengan prinsip. Pernak ada waktunya saya cuba menghubunginya melalui telefon. Tetapi tidak pernah pula meleret-leret dijawabnya. Tidak sampai 5 minit. Satu soalan yang kakak tanyakan, satu jawapan yang dia berikan."
Kelihatan tidak mesra sebelum bernikah tetapi itulah yang mengikat mereka. Sikap suaminya yang kurang mahu berinteraksi sebelum perkahwinan sebenarnya menambah kemanisan hubungan mereka. Kerana mereka bekerja di bangunan yang sama di tingkat yang berbeza, kerap juga mereka bertemu muka.
Kata isterinya lagi,"Kami tidak selalu bertegur sapa. Jika ditangan kakak ada surat khabar, maka surat khabar itulah yang melindungi wajah kakak. Masih ada rasa malu-malu lagi."
Lelaki yang dikenalinya semasa zaman bujangnya dahulu, kini menjadi teman hidupnya. Sikapnya yang kurang berinteraksi sebelum berkahwin beralih kepada sikap ramah dan mesra yang melembutkan hati isteri.
Apabila mengenangkan kembali langkah pertama yang menjadi langkah pertemuaan awal mereka, itulah ingatan yang paling manis bagi mereka jadikan gurauan dan cerita bersama.